Ahad, 13 Oktober 2013

KaReSma : Sejarah Penubuhan Kadet Remaja Sekolah ( KRS )

Sejarah Penubuhan KRS Kadet Remaja Sekolah ( KRS ) telah di tubuhkan dan di asaskan oleh Encik Muhammad Thani Bin Sha'aban di Sekolah Menengah Raja Abdullah, Jalan Kepong, Kuala Lumpur pada 27 Jun 1987. Pada mulanya pasukan ini dikenali sebagai Kadet Putera Islam Malaysia (KPIM) yang merupakan pasukan beruniform kepada Persatuan Pelajar-pelajar Islam SMRA (PERWIRA). Keahliannya adalah seramai 20 orang pelajar sahaja iaitu terdiri daripada pelajar tingkatan 1 & 2. Matlamat utama penubuhannya ialah untuk melahirkan pelajar cemerlang yang BERILMU, BERIMAN, BERAMAL, berakhlak mulia, bersemangat patriotik dan berketrampilan selaras dengan usaha dan hasrat mengisi tuntutan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ke arah Wawasan 2020. Pasukan KPIM ini bernaung di bawah pengawasan Unit Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan. Setiap aktiviti yang dijalankan adalah berteraskan ISLAM SEBAGAI CARA KEHIDUPAN ( AD-DEEN ). Mulai tahun 1989 beberapa buah sekolah di Wilayah Persekutuan telah mula menubuhkan KPIM. Antaranya ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail di bawah pimpinan Ustaz Ahmad Farazila Bin Abdul Ghani, Sekolah Menengah Seri Titiwangsa di bawah pimpinan En Anuar Bin Abdul Aziz dan Sekolah Menengah Agama Ma'ahad Hamidiah, Kajang, Selangor di bawah pimpinan En Abu Hassan Bin Morad. Pada tahun 1993, sebanyak 53 buah sekolah menengah di seluruh negara telah menubuhkan KPIM. Usaha untuk menubuhkan KPIM secara rasmi dan bernaung di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia tlah dimulakan pada 10 Ogos 1993. Satu pertemuan telah diadakan dengan Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Dr Wan Mohd Zahid Bin Wan Mohd Nordin iaitu Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia bersama Encik Muhammad Thani Bin Sha'aban dan Ustaz Ahmad Farazila Bin Abdul Ghani pada 13 September 1993. Di dalam pertemuan ini tesis mengenai KPIM telah di bentangkan. Hasilnya, sebuah jawatankuasa kecil telah dibentuk untuk menyediakan kertas kabinet. Jawatankuasa ini mencadangakan agar pasukan ini diberi nama KADET PUTERA-PUTERI ISLAM ( KPIM ). Walau bagaimanapun nama pasukan ini kemudiannya ditukar kepada KADET REMAJA ISLAM ( KRIS ). Sementara itu taklimat dan pendedahan kepada Pengarah-Pengarah Bahagian Kementerian Pendidikan yang diadakan pada bulan Oktober 1993 dan dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Dr Wan Mohd Zahid telah membuat keputusan agar nama pasukan ini di tukar kepada KADET REMAJA SEKOLAH ( KRS ) yang bertujuan agar keahliannya lebih terbuka kepada semua kaum sama ada pelajar lelaki atau perempuan. Upacara Pelancaran KADET REMAJA SEKOLAH Perimgkat Kebangsaan telah di laksanakan pada 20 Jun 1995 bersamaan 21 Muharram 1416H oleh Yang Berbahagia Dato' Seri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak, Menteri Pendidikan Malaysia di Sekolah Menengah Raja Abdullah, Jalan Kepong, Kuala Lumpur. Semenjak penubuhannya, semua sekolah-sekolah di Malaysia telah menerapkan KRS ke dalam aktiviti-aktiviti kokorikulum di sekolah masing-masing. Badan beruniform ini dilihat sebagai suatu elemen yang penting di dalam membina jati diri dan disiplin di kalangan para pelajar-pelajar. Pada hari ini, kegiatan beruniform ini juga telah di perluaskan di kalangan pelajar-pelajar sekolah rendah yang di kenali sebagai Tunas KRS