Jumaat, 16 Mei 2014

Bicara Pengerusi Karesma - Ucapan Selamat Hari Guru 2014

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

Tarikh 16 Mei adalah suatu tarikh dimana seluruh rakyat Malaysia meraikan warga pendidik di negara kita. Penghargaan diberikan kepada semua 421,393 tenaga pengajar Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah di lebih 10,000 buah sekolah di seluruh negara.

Dengan jumlah pelajar sekolah melebihi 5 juta orang (hampir 20% penduduk Malaysia), secara purata, setiap guru mempunyai seramai 12 orang anak didikan setiap tahun. Bayangkan bagaimana kalau kita mempunyai 12 orang tanggungan? Amat besar tanggungjawab dan pengorbanan seorang guru dalam membentuk masa hadapan anak-anak kita dan menjadi penjana utama kepada modal insan negara.

Kita sebagai ahli KaReSma, secara langsung adalah hasil daripada didikan guru dan jurulatih Kadet Remaja Sekolah. Kita amat beruntung kerana didedahkan dengan elemen ko-kurikulum khusus dari Kementerian Pelajaran Malaysia dimana pembangunan insaniah diberi penekanan disamping pembelajaran di bidang akademik. Elemen-elemen ini telah secara langsung membentuk kita menjadi insan yang berguna dan berjaya pada hari ini. Tanpa kecekalan dan kesabaran guru-guru dalam menerap nilai-nilai murni ini, belum tentu badan beruniform KRS dapat dikekalkan sebagai badan beruniform yang disanjung tinggi oleh pelajar-pelajar, ibu-bapa dan masyarakat.

Bersempena dengan Hari Guru pada hari ini, saya mewakili semua ahli KaReSMA di seluruh negara, ingin mengucapkan tahniah dan ribuan terima kasih kepada semua guru-guru dan tenaga pengajar badan beruniform KRS. Percayalah cikgu-cikgu semua, didikan dan panduan yang diberi, tidak di sia-siakan. Teruskan perjuangan cikgu-cikgu sekalian. Wujudnya KaResMa pada hari ini adalah bukti kukuh kemenjadian modal insan, hasil produk modul Kadet Remaja Sekolah Malaysia. Kami sentiasa berdoa dan memberi penghargaan kepada semua warga pendidik Malaysia terutama sekali yang menyumbang dalam kejayaan aktiviti KRS. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa guru-guru sekalian. 

Ingin saya mengambil kesempatan untuk memberi pengiktirafan istimewa kepada pengasas Kadet Remaja Sekolah Malaysia. Tiga orang guru ini mempunyai visi yang jauh dalam melaksanakan pendekatan yang berkesan bagi melahirkan insan cemerlang yang BERILMU, BERIMAN dan BERAMAL.

Terima kasih tidak terhingga kepada Arwah Cikgu Thani Bin Sha'aban, Ustaz Ahmad Farazila Bin Abdul Ghani dan Cikgu Anuar Bin Abdul Aziz kerana menjadi pencetus kepada modul ko-kurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia yang dapat mendukung transformasi pendidikan ke arah membangunkan kemahiran abad ke -21. Guru pengasas yang kami kasihi ini boleh menjadi definisi dan bukti kukuh dalam penghayatan tema Hari Guru pada tahun ini iaitu 'Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi'.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpeluang menyambut Hari Guru bersama bekas guru Matematik beliau, iaitu Yusof Karto yang berumur 80 tahun.


Terima Kasih Cikgu!

Pengerusi KARESMA
Mafiz Bin Seth   

           







 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan